Jalan Dakwah: Satu pencariaan semula

Apakah makna jalan dakwah ini? Siapakah yang melaluinya? Apakah yang disediakan untuknya? Dimanakah pengakhirannya? Adakah ia menyerupai dengan jalan-jalan yang lain. Sejarah telah membuktikan bahawasanya setiap tubuh manusia yang melalui jalan ini pasti akan merasai kejauhan, kesukaran, kepenatan dan juga perasaan lesu dan sering diperkotak-katikkan. Apabila melalui jalan ini, seorang manusia itu tidak akan sunyi dari ujian, mehnah serta fitnah yang mampu merobek iman dan menghilangkan kewarasan akal dalam kehidupan.

Namun, pendokong agama yang berjalan di atas jalan ini harus jitu dengan pegangan membawa kalimah Al-Hak. Sekiranya mereka terlepas dari cengkaman ujian itu, pasti tekad dan kesungguhan mereka bertambah mantap serta lebih kuat untuk terus menyebarkan ajaran dan berita gembira kepada seluruh alam dunia ini.

Pencarian jalan dakwah ini perlu dimulakan semula. Ini disebabkan oleh kerosakan generasi hari ini yang disebabkan oleh konspirasi jahat musuh-musuh Islam terhadap usaha dakwah ini. Pelbagai cara yang digunakan samaada melalui cara keras atau sekadar dengan menyebarkan dakyah-dakyah kotor mereka melalui media-media yang diwujudkan oleh mereka sendiri. Usaha mereka ialah untuk memastikan gerakan-gerakan Islam ini kering dari darah-darah baru pemuda-pemuda yang berjuang atas nama Allah dan berusaha untuk menegakkan agama dalam diri mereka sendiri dan kelompok masyarakat mereka. Apa yang mereka mahukan ialah, gerakan Islam hari ini terus ketandusan generasi yang menghasilkan lompong-lompong kelemahan serta menampakkan ketidakseriusan pejuang-pejuang agama Islam itu sendiri.

Generasi terdahulu telah mempelopori dan merentas jalan dakwah ini bagi memberikan ruang seluasnya untuk kita bersama generasi baru ini menyambung di mana yang telah mereka sampai. Walaubagaimana sekalipun, gerakan Islam ini digasak, disentuh dan dirosakkan, Allah tidak akan membiarkan Islam itu berkubur begitu sahaja. Jika bukan kita yang melakukannya, pasti akan ada mereka yang lain akan diberikan amanah ini untuk diteruskan. Janji Allah tidak akan pernah padam dan janji Allah pasti DIA akan tunaikan.


JALAN DAKWAH

Hanya satu jalan dakwah yang dilalui iaitulah jalan yang dilalui oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Begitulah juga kita pada hari ini, dengan memohon petunjuk dan hidayah daripada Allah, moga-moga usaha ini dipandu Allah s.w.t. dalam menelusuri usaha dakwah yang telah dikepalai oleh Bagidan s.a.w. Sebagaimana yang dicontohkan Baginda s.a.w., marilah kita lalui jalan ini dengan berbekalkan iman, amal, mahabbah dan ukhuwah.

Seru Baginda s.a.w. kearah iman dan bersama mengamalkannya. Perjuangan bermula di Mekah dengan pelbagai ancaman dan cemuhan. Kemudian Bagidan s.a.w. bergerak ke arah menyatupadukan hati-hati mereka atas dasar mahabbah dan ukhuwah. Inilah perjalanan bersejarah hijrah Baginda s.a.w. ke Madinah. Bertunjangkan keimanan yang utuh, aqidah yang jitu serta ukhuwah yang dirahmati, maka wujudlah satu jemaah yang sangat ideal untuk kita bersama contohi. Tiada yang lebih benar melainkan apa yang telah dicontohkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.


SATU PENCARIAN SEMULA...

Firman Allah dalam surah Az-Zaariyat ayat 50 yang berbunyi;

“(Katakanlah Wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.”

Ini merupakan halatuju yang terutama dalam persiapan melalui jalan dakwah yang penuh ranjau dan amat jauh sekali. Justeru tujuan yang pasti dan bukan lagi perlu diragui adalah Allah s.w.t. Tidak ada tujuan lain di dalam melaluinya. Usah rosakkan ia dengan kepentingan-kepentingan kecil lain yang hasilnya hanyalah kemuliaan dan kesenangan di dunia. Apa sahaja yang dilakukan adalah semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t. Jika Allah redha dengan kita, apatah lagi dunia yang fana ini, bukanlah nilai yang patut kita merasai kerugiannya.

Apabila kita membawa kalimah Al-Hak sebagai perisai kehidupan dan matlamat perjalanan kehidupan, maka perlu kita jelas bahawa, bersama kalimah Al-Hak itu ada tugas dan ada kepentingannya. Adakah kita sangka apa sahaja yang Allah sediakan untuk manusia itu percuma sahaja? Pasti ada amanah yang perlu dipenuhi dan dilaksana. Maka sampaikanlah berita gembira itu kepada siapa sahaja yang bersama-sama kita. Berita gembira itu bukan sahaja meliputi bidang politik sahaja, ekonomi sahaja atau sosial semata-mata, tetapi segenap aspek dalam kehidupan dan setiap isi makhluk di muka bumi Allah ini harus merasainya sesungguhnya Muhammad s.a.w. itu diutuskan untuk membawa rahmat ke seluruh alam.

Sekiranya ini yang kita usahakan atas jalan dakwah yang kita pilih, maka balasannya pastilah besar yakni syurga yang lebih baik dari segala isi langit dan bumi. Selain dari syurga, nilainya adalah amat kecil. Kemewahan, kemasyhuran, kesenangan di dunia, harta benda dan sebagainya adalah amt kecil nilainya berbanding anugerah syurga Allah itu. Pada ketika itu, kita akan dapat hidup bersama-sama para anbiya’, para siddiqin, para syuhada’ dan para salihin kerana mereka inilah sebaik-baik sahabat yang sebenar. Firman Allah s.w.t. dalam surah At-Taubah ayat 72 yang bermaksud;

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam "Syurga Adn" serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan Yang besar.”


JALAN DAKWAH ADALAH JALAN YANG SUKAR

Ia pastilah tidak mudah. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 1 hingga 3.

1. Alif, Laam, Miim. 2. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? 3. dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.

Pasti sekali sukar untuk kita melihat sesuatu kejayaan hasil dari perjuangan melalui jalan dakwah ini. Pasti ramai yang bertanya, mengapa? Kalau ini jalan dakwah, bukankah ia harus dipermudahkan oleh Allah? Firman Allah dalam surah Al-Anbiya’ ayat 18 berbunyi;
“Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu ia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah dia. Dan (tetaplah) kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan (terhadap Kami).”

Janji Allah ini menyebabkan, mereka yang melakukan kerosakan berasa takut dan terancam kerana sesuatu yang hak itu pasti akan menjatuhkan yang batil. Maka, yakinilah bahawa, jika kita membantu agama Allah maka Allah akan membantu urusan hidup kita. Oleh yang demikian akan datang kepada mereka yang melalui jalan ini fitnah dan kedengkian kerana hendak mengekalkan hakmilik sementara mereka itu. Maka, manusia yang di atas jalan dakwah ini digambarkan sebagai musuh dan menggalakkan orang ramai menentang mereka. Telah Allah gambarkan di dalam surah Al-Mukmin ayat 26 tentang apa yang dilakukan oleh Firaun dan para pembesarnya terhadap Nabi Musa.


IKUTILAH JALAN INI, BALASANNYA PASTI YANG TERBAIK

Maka Allah perintahkan Nabi Musa a.s. bersama pengikutnya bersabar kerana barang siapa yang melalui jalan ini, pasti. Pasti, Allah akan memberikan ganjaran dan bersama-sama dengan mereka.


MARHALAH JALAN INI

Hari ini, akhlak Islam telah dihilangkan, kebudayaan dan cara hidup Islam sudah tidak diamalkan maka dari situ hilanglah kehebatan dan keagungan Islam serta kekuasaannya. Ini disebabkan generasi kita yang tidur lena dek kerana kesenangan serta kehidupan yang berbentuk ananiah (individualistik) dan kekacauan jiwa. Akhirnya kekufuran mengambil ruang dalam kehidupan manusia sehingga tercabut iman mereka dan menjadi Muslim dari segi nama tetapi tidak pada jiwa mereka.

Generasi baru hari ini semakin dihidangkan dengan corak hidup hendonisme yang melebihkan hiburan dari amalan kerohanian. Gelombang jahiliyah kini kembali dan kedegilan ini mula menular apabila Muslim itu lebih ramai yang kecil imannya. Sorotilah ketabahan, kesabaran dan pengharapan yang ditonjolkan oleh Baginda s.a.w. bersama sahabat-sahabatnya yang tabah, sabar dan cekal dalam menyampaikan dakwah kepada seluruh umat manusia di alam ini. Teladanilah mereka, dan jadikanlah iktibar buat kita semua.


LANGKAH-LANGKAH DAN CARA

Menurut Al-Ustaz Mustafa Masyhur di dalam bukunya yang bertajuk ‘Jalan Dakwah’, beliau menegaskan hanya terdapat 3 perkara pokok yang tidak bertukar ganti di dalam kerja dakwah yang berlaku iaitulah;

1. Iman yang amiq (iman yang mendalam);
2. Takwin daqiq (pembentukan yang rapi dan teliti) serta;
3. Amal mutawasil; (usaha dan amal yang berterusan).

Asas utamanya adalah iman. Dari mana datangnya iman? Iman ialah bersetuju dengan sesungguhnya dengan hati, bercakap dengan lidah serta beramal dengan tubuh. Melalui iman yang mendalam ini akan membentuk peribadi yang unggul sehingga akhirnya menjadi keluarga, masyarakat serta negara yang diidamkan. Sesungguhnya, dua perkara ini haruslah sentiasa dilakukan secara berterusan dan istiqamah dan jangan sekali-kali ia datang dalam keadaan gopoh-gapah. Ini turut dipesan oleh As-Syahid Al-Imam Hassan Al-Banna;

"Hai Ikhwanul muslimin terutama yang gopoh dari kamu. Dengarkanlah daripadaku satu kalimah yang tinggi yang berkumandang dari atas mimbar ini di dalam muktamar umum ini. Sesungguhnya jalan kamu ini adalah yang telah digariskan langkah-langkahnya, ditentukan batas-batasnya dan aku tidak mahu melanggar batas-batas itu. Aku telah yakin dengannya. Keyakinan yang sebenar-benarnya, bahawa itulah jalan yang paling selamat untuk mencapai tujuannya.

Ya... boleh jadi ia satu jalan yang panjang, tetapi di sana tidak ada jalan lain selain itu. Sifat kelakian tidak akan lahir kecuali dengan keberanian, ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang serius dan berterusan. Barangsiapa dari kalangan kamu yang hendak cepat dan gopoh memetik buah sebelum masak atau hendak memetik hasil sebelum masanya, maka aku tidak bersama dengannya sama sekali dan lebih baik baginya meninggalkan dakwah ini dan carilah dakwah yang lain. Barangsiapa yang bersabar bersama aku sehingga berkembang dan membesar benih itu lalu tumbuh pokoknya, baik buahnya sehingga tiba waktunya untuk dipetik dan diambil, maka ganjarannya terserahlah kepada Allah semata-mata. Kita dan dia tidak boleh lari dari dua kebaikan ini. Sama ada kita menang dan berkuasa atau mati syahid dan berbahagia".

Semoga apa yang dicatatkan ini mendatangkan semangat, keberanian dan kemahuan untuk terus berada di jalan ini. Adalah menjadi tugas kita bersama untuk sentiasa mencari dan menilai adakah kita berada di atas landasan dakwah yang benar atau keliru dengan apa yang kita laksanakan atau mungkin kita hanya ‘syok’ sendiri sahaja? Renungi dan ‘TUNE’ lah diri kita.

Pertemuan atas Dasar Iman dan Islam

Permulaan perjalanan usaha dakwah yang dilaksanakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w telah secara tidak langsung menceritakan babak-babak pengorbanan yang dilakukan oleh mereka yang berada hampir dengan Baginda s.a.w. Kisah perjuangan Baginda s.a.w. bukanlah sekadar renungan tentang mukjizat dan kekuasaan Allah, tetapi Allah telah mengajar kita bahawa, bersama Baginda s.a.w. ada mereka-mereka yang turut sama meletakkan jiwa dan raga mereka demi agama Allah serta Rasul utusan-NYA.

Sejarah pengorbanan ini seharusnya dijadikan iktibar dan contoh ikutan buat ummat hari ini. Bukan satu nama sahaja yang pernah kita dengari yang ketika bersama dakwah Rasulullah, bahkan puluhan mungkin ratusan dari mereka yang boleh kita contohi dan ikuti pada hari ini. Sejarah dilakar dengan kisah penurunan wahyu dan kita sama-sama telah saksikan dan diberikan pendidikan bagaimana Baginda Rasulullah menerima wahyu dan diperintahkan untuk menyampaikannya. Namun adakah pengajarannya dekat dengan kita atau sekadar perbincangan dan menjadikannya sebagai satu kisah yang menyayat hati?

Bak kata sesetangah dari teman-teman seperjuangan, mereka sudah lama meninggalkan kita, yang harus kita fikirkan adalah diri kita. Bagaimana dengan diri kita? Bersediakan bertemu dengan Allah? Banyakkah bekal kita? Banyakkah persiapan kita?


Teman-teman Sebagai Pemangkin Keyakinan Diri
Apabila sampai seruan untuk menyebarkan Islam, maka Baginda sebelumnya telah mempersiapkan rakan-rakan, para sahabat untuk bersama dengannya. Adakah Baginda tiada upaya? Atau adakah Allah tidak upaya membantu Baginda? Itulah pemikiran dangkal yang mungkin kita sendiri terfikir, sedangkan Allah mengajar kita manusia melalui sejarah ini untuk menunjukkan betapa pentingnya bekerja, hidup dan bersama dengan kelompok manusia atau jamaah. Melalui mereka ini, sedikit sebanyak telah menambah keyakinan Baginda untuk berdakwah dan berhadapan dengan ancaman musyrikin Quraisy pada ketika itu.

Begitulah jua dengan pergerakan Islam yang kita sertai. Usrah merupakan agenda penting dalam memastikan kita sebagai kelompok manusia yang mengakui sebagai da’i dan juga sebagai penggerak agenda dakwah. Menyertai usrah, bukanlah sesuatu yang bersifat terlalu ilmiah tetapi ia lebih menjurus kepada pembinaan hubungan kasih sayang, saling mempercayai, sifat saling membantu dan kenal antara satu sama lain.

Bermula dari suasana mahabbah dan ukhuwah itulah, maka akan lahir insan-insan yang berkaliber, berketrampilan serta sentiasa komited dengan tugas dakwah dan agama mereka. Ini kerana, dari suasana kelompok yang kecil, mementingkan hubungan silaturrahim serta budaya hormat menghormati antara satu sama lain, akan mampu memupuk semangat setiakawan serta daya kepemimpinan diri yang tinggi. Bahkan suasana ini diperkuatkan lagi dengan perhubungan yang bertunjangkan Iman dan Islam.


Usrah meninggalkan kesan pada individu Muslim
Binaan usrah ini harus tepat dan jitu matlamat perjalanannya. Usrah yang terbaik harus memiliki keutamaan dalam setiap aktiviti dan perbincangannya. Usrah harus ditunjangi dengan keikhlasan untuk bersama-sama. Senang bersama, susah saling membantu pula. Oleh yang demikian, untuk menjadikan usrah itu berkesan untuk ahlinya, setiap usrah itu haruslah ditunjangi dengan ‘aqidah Islam yang jelas. Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 160 yang bermaksud;

“Jika Allah menolong kamu maka tidaklah ada orang yang dapat mengalahkan kamu.”

Apabila keimanan itu merupakan tiket pertama untuk bersama menggerakkan usrah itu, maka secara tepatnya, pengamalan serta tindak-tanduknya juga haruslah menurut cara hidup Islam (Ad-Din) sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Maidah ayat 15 hingga 16 yang bermaksud;

“Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah dan kitab yang menerangkan, dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan.”

Begitulah rujukan utama perjalanan seorang Muslim dan Mukmin tidak lain dan tidak bukan adalah Al-Quranul Karim. Sebagaimana kata Aisyah, bahawasanya Muhammad itu adalah Al-Quran yang bergerak. Maka, cara hidup yang terbaik, paling cocok adalah cara hidup Islam yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.

Selain itu, usrah juga memainkan peranan dalam mengikat silaturrahim yang terjalin atas dasar Iman dan Islam tadi. Sebagaimana firman Allah di dalam Al-Quran dari surah Al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud;

“Sesungguhnya, orang-orang Mukmin itu bersaudara.”


Bina dan perbaiki diri melalui Usrah

Sebagai ahli dalam gerakan Islam, kita harus sentiasa berhasrat untuk memperbaiki apa sahaj kekurangan pada diri kita. Oleh kerana itu, peringatan dan nasihat yang diberikan di dalam usrah haruslah diambil iktibar dan pengajaran kerana setiap kita dianugerahkan pemahaman yang berbeza. Jadikanlah usrah ini untuk kita bersama memperbesarkan kepercayaan dan keyakinan kita terhadap apa yang telah Allah sediakan untuk kita. Firman Allah s.w.t. dari surah At-Taubah ayat 120 yang bermaksud;

“Yang demikian itu ialah kerana mereka tidak ditimpa kesusahan, kepayahan dan kelaparan pada jalan Allah dan tidak (pula) memijak satu tempat yang membangkitkan kemarahan orang-orang kafir dan tidak menimpakan sesuatu bencana kepada musuh, melainkan ditulis bagi mereka dengan yang demikian itu satu amal soleh, sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang yang berbuat baik.”

Semoga dengan keterlibatan kita bersama usrah yang dibangunkan itu, akan meningkatkan keyakinan kita bahawa kita haruslah menjadi sebahagian daripada usaha perkembangan Islam itu sendiri kerana, bukan Allah yang memerlukan kita, tetapi kita yang perlu mencari dan mendapatkan kasih sayang Allah. Allah telah berikan kita nikmat Islam dan nikmat Iman, maka bersyukurlah dan sebarkanlah berita gembira ini kepada mereka masih berada di dalam kealpaan.

Sedikit biografi Mustafa Masyur

Asy-Syeikh Mustafa Masyhur dilahirkan pada 15 September 1921 di Kampung Sa’din, dari kota Manya al-qamh, Mesir. Beliau terdidik di dalam suasana keluarga yang berpegang teguh dengan agama. Beliau mengikuti penulis desa sejak berumur dua tahun. Kemudian memasuki sekolah rendah di desanya. Selepas itu ke sekolah I’dad di Manya Al-Qamh. Beliau meneruskan pengajian di sekolah tsanawiyah di Zaqaziq, setelah tinggal di Zaqaziq selama dua tahun. Beliau pindah ke Cairo dan menyempurnakan sekolah tsanawiyahnya di sana, dan seterusnya melanjutkan pelajaran di university Al-Azhar Cairo, dan tamat pada tahun 1942. Beliau adalah Syeikh Mustafa Masyhur.

Beliau menyertai Ikhwanul Muslimin lapan tahun selepas penubuhannya iaitu pada 1936. Kisah penyertaan beliau bermula ketika beliau tinggal di Kaherah. Di sana beliau sering ke masjid berhampiran kediamannya. Suatu hari ketika di masjid beliau melihat seorang lelaki sedang menyebarkan risalah tentang ceramah agama di sebuah masjid lain.

Kerana sifat beliau yang sangat cintakan ilmu dan majlis pengajian agama, beliau menghadirkan diri ke majlis itu. Di akhir ceramah , penceramah berkenaan mengumumkan tentang kehadiran seorang lagi tokoh tersohor ke situ untuk menyampaikan ceramah iaitu Imam Hassan Al-Banna. Di pendekkan cerita beliau akhirnya jatuh hati terhadap ceramah dan isu-isu yang dibawa penceramah tersebut. Beliau akhirnya menyertai Ikhwanul Muslimin lapan tahun selepas penubuhannya iaitu pada 1936.

Beliaulah antara yang menjadi tonggak Ikhwanul Muslimin sejak beliau menyertainya. Dalam memperjuangkan amanah agama beliau beberapa kali dipenjarakan iaitu sehingga 19 tahun. Beliau dimasukkan ke dalam penjara tentera ketika berusia 33 tahun. Apabila beliau dihadapkan ke mahkamah tentera, dalam perbicaraan yang tidak sampai tiga minit, beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun. Beliau juga telah dikurung dalam penjara bawah tanah dan kemudiannya ditahan di penjara padang pasir. Bukan itu sahaja beliau juga telah dipukul ratusan ribu kali. Kedua-dua tapak kakinya dipukul dengan sebatang alat keras sehingga menyebabkan tulang di kedua-dua tapak kakinya menjadi reput. Kesan akhirnya, beliau menjadi tempang.

Beliau dipenjarakan semasa pemerintahan Jamal Abd. Nasir. Ketika itu berlaku mehnah yang dikenali sebagai “Mehnah Takyid” ( Dugaan memberi sokongan kepada Presiden Jamal Abdul Nasir yang menghukum mereka, iaitu dengan menggunakan anak-anak Ikhwan yang dipenjara untuk memujuk ayah-ayah mereka menerima tawaran bebas dari penjara dengan syarat menulis beberapa perkataan atas kertas menyokong Jamal Nasir; (mehnah = dugaan, takyid = sokong ).

Beberapa orang dari saudara mara isteri beliau menyuruh anak-anak perempuan beliau pergi ke penjara untuk memujuk ayah mereka agar menulis sokongan dan balik ke rumah bersama mereka tetapi isteri beliau enggan dan memesan kepada anak-anak agar tidak menunjukkan jemu dan risau lantaran ketiadaan ayah yang panjang. Teruslah si ayah dalam penjara dengan tsabat dan teguh, menolak sebarang sokongan terhadap Sistem yang memenjarakannya.

Kali terakhir beliau dipenjarakan ialah pada 1965-1971. Beliau dibebaskan setelah Anwar Sadat mengambil alih pemerintahan. Ketika itu Anwar Sadat memberi keampunan kepada ramai anggota Ikhwanul Muslimin yang dipenjara termasuk beliau. Walaubagaimanapun, Anwar Sadat cuba menangkapnya kembali selepas beberapa ketika. Untuk menyelamatkan diri, beberapa ketika sebelum penangkapan beramai-ramai dilakukan pada 1971 beliau berhijrah ke Kuwait. Beliau kemudian tinggal di Jerman selama lima tahun dan di sana beliau mengatur gerakan menyebarkan pengaruh Ikhwanul Muslimin ke seluruh dunia.

Beliau pulang ke Mesir ketika Syeikh Umar Tilmisani menjadi Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin. Tidak lama kemudian Syeikh Umar Tilmisani meninggal dunia . Jawatan Mursyidul Am kemudiannya diambil-alih oleh Syeikh Hamid Abun Nasr dan Mustafa Masyhur menjadi timbalannya. Setelah Syeikh Hamid meninggal dunia pada tahun 1996, Syeikh Mustafa Masyhur dilantik sebagai penggantinya. Februari 2002 beliau sekali lagi dipilih untuk meneruskan khidmatnya sebagai Mursyidul Am. Pemilihan tersebut dibuat selepas Ikhwan membuat pindaan tempuh khidmat Mursyidul Am kepada enam tahun. Syeikh Mustafa turut diundang menyampaikan ceramah di serata dunia. Bahkan ketika permulaan krisis selepas kemenangan mujahidin di Afghanistan, beliau mengetuai delegasi pemimpin-pemimpin gerakan Islam seluruh dunia pergi ke Kabul untuk mendamaikan kumpulan-kumpulan mujahidin.

Beliau menjalankan amanah memegang jawatan Mursyidul Am yang disandangnya sejak 1996 hinggalah keadaannya yang sudah tidak berdaya lagi pada 29 Oktober 2002. Sejak itu, jawatan berkenaan dipangku oleh Ustaz Makmun Hudhaibi.

Pada 29 Oktober 2002, selepas pulang dari pejabatnya, beliau berehat seketika. Apabila azan Asar dilaungkan, anak perempuannya cuba mengejutkannya daripada tidur. Sebaik terjaga daripada tidur, didapati dirinya begitu tidak bermaya sekali. Beliau diserang sakit.

Melihatkan keadaan bapanya, si anak menasihati Syeikh Mustafa supaya menunaikan solat di rumah sahaja. Namun tarbiyyah mantap yang diterimanya menghalang beliau untuk menunaikan sembahyang di tempat selain daripada masjid.

Beliau terus mempersiapkan diri dan pergi menunaikan sembahyang di masjid berdekatan kediamannya. Selepas menunaikan sembahyang, beliau sudah tidak mampu melakukan apa-apa lagi. Orang ramai menghantarkannya ke hospital dan beliau berada di sana selama lebih kurang dua minggu. Pada petang Khamis lalu, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika berumur 83 tahun.

Keesokan harinya, orang ramai berkumpul di Masjid Rabaah Adawiyyah di Madinat Nasr untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum beliau dikebumikan. Jalan-jalan sekitar menjadi sesak. Setelah jenazah disembahyangkan, orang ramai berarak menuju ke tanah perkuburan yang terletak 10 km dari masjid berkenaan. Suasana sepi, sedih dan pilu menyelubungi perjalanan ke tanah perkuburan. Tidak ada sebarang laungan atau slogan-slogan seperti perhimpunan yang biasa di anjurkan oleh Ikhwan. Masing-masing hanya berdoa di dalam hati memohon kesejahteraan ke atas pemimpin yang pergi. Sebahagian daripada mereka mengangkat mashaf Al Quran sebagai lambang kepada syiar perjuangan mereka.

Perarakan yang dianggarkan disertai oleh 20,000 orang itu turut disertai oleh pemimpin-pemimpin politik termasuk ketua Parti Buruh (pembangkang), Ibrahim Shukri. Walau bagaimanapun Al Jazeerah melaporkan bahawa tidak kelihatan seorang pun pemimpin kerajaan hadir ketika itu.

Walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan halangan, Syeikh Mustafa tetap berada di dalam saf perjuangannya dan tidak meninggalkan jamaah sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir . Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat kita. Namun itu tangisan bukan penyelesaiannya. Syeikh Mustafa Masyhur telah meninggalkan banyak panduan melalui buku-buku beliau. Kita seharusnya boleh mengambil ibrah daripada karya-karya tersebut untuk terus menyuburkan jalan dakwah ini. Semangat kental dan ketabahan beliau harus kita jadikan pembakar semangat agar kita terus thabat di jalan ini insyaAllah.

MURSYIDUL AM IKHWANUL MUSLIMIN
1. As Syahid Ustaz Hasan Al Banna (1928)
2. Syeikh Hasan Hudhaibi
3. Syeikh Umar Talmisani
4. Syeikh Hamid Abun Nasr
5. Syeikh Mustafa Masyhur (1996-2002)
6. Syeikh Makmun Hudhabi
7. Dr Mahdi Akef (sekarang)


Hasil Karangan beliau
1. Al-jihad huwa as-sabil
2. Tasaulat ala thariq ad-dakwah
3. Munajat ala at-thariq
4. Muqawwimat rajulul aqidah ala thariq ad-dakwah
5. Wihdatul amal al-islami fi al-qatrul wahid
6. Zaad ala at-thariq
7. Al-qudwah ala thariq ad-dakwah, ad-dakwah al-fardiyah
8. Al-hayah fi mihrab as-shalat al-islam huwal al-hall, min fiqh ad-dakwah
9. Al-qaid al-qudwah wa mutathallibatuhu baina ar-rabbaniyah wal madiyah
10. Qadhaya asasiyah ala thariq ad-dakwah at-tiyar al-islami wa dauruhu fi al-bina
11. Qadhiyah azh-zhulm fi dhaui al-kitab wa as-sunnah
12. Thariq ad-dakwah baina al-ashalah wa al-inhiraf min at-tiyar al-islami ila Sya’b misr




Petikan dari: http://inijalanku.wordpress.com/parti2/biografi-mustafa-masyhur-mursyid-am-im-ke-5/